Ab Rahman (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pistol pen, bom asap dan tiga peluru hidup yang dirampas. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan bersama pistol pen, bom asap dan tiga peluru hidup dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kuala Krai, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 10.30 pagi itu, senjata berkenaan ditemui di dalam beg yang disorok di sebuah bilik.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas polis mendapat maklumat daripada orang awam.

"Suspek enggan memberi kerjasama sehingga kita terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan. Kemudian berlaku sedikit pergelutan sebelum suspek ditahan.

"Pemeriksaan lanjut menemui pistol pen, tiga peluru hidup dan bom asap," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, tadi.

Menurutnya, senjata itu dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah dan boleh membunuh mangsa dari jarak dekat.

"Suspek juga memiliki enam rekod lampau termasuk kesalahan dadah, senjata dan pemerasan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 2:18 PM