Balak dan jentera yang dirampas polis. FOTO Ihsan PPM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Sebauh: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas 80 kayu balak serta dua jentera dengan nilai keseluruhan RM585,000 di hutan Temabong dan Ulu Setiam, Sebauh, petang semalam.

Operasi dijalankan antara jam 3 hingga 4.30 petang itu selepas pasukan polis menjalankan risikan dan pemantauan aktiviti pembalakan haram di kawasan berkenaan.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, polis percaya semua balak yang dirampas di dua lokasi itu diperoleh secara haram kerana tidak terdapat cop pengesahan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) pada balak berkenaan.

Menurutnya, balak yang dirampas dianggarkan bernilai RM35,000 manakala dua jentera yang digunakan untuk mengangkut balak itu berharga RM550,000.

“Barang rampasan diserahkan kepada JHS untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015,” katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 4:09 PM