EMPAT suspek yang dilepaskan dengan jaminan SPRM. FOTO Mohd Azren Jamaludin
EMPAT suspek yang dilepaskan dengan jaminan SPRM. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Empat suspek termasuk anak dan pegawai khas seorang Exco kerajaan negeri yang disyaki terbabit dalam skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Keempat-empat mereka yang tiba di perkarangan mahkamah di sini pada 9.28 pagi terus dibawa ke kamar Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Saba'aton Daud.

Saba'aton kemudian membenarkan permohonan SPRM melepaskan empat suspek berkenaan dengan jaminan.

Mereka yang diiringi pegawai SPRM menaiki empat kenderaan kemudian dilihat meninggalkan mahkamah pada 9.45 pagi.

Bagaimanapun, siasatan lanjut terhadap keempat-empat mereka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 masih diteruskan.

Tempoh tahanan reman empat suspek termasuk peguam dan seorang orang awam itu mencapai maksimum 14 hari selepas direman tujuh hari pada 25 Februari lalu sebelum dilanjutkan seminggu lagi pada 3 Mac lalu.

Dua pemaju yang sebelum ini turut ditahan bersama empat suspek itu pada 24 Februari lalu, sudah dilepaskan dengan jaminan SPRM pada 3 Mac lalu.

Manakala, suspek ketujuh iaitu kontraktor yang ditahan empat hari kemudian dan direman tujuh hari juga sudah dilepaskan dengan jaminan SPRM, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 11:21 AM