NIK Nur Fatin nekad mahu berjaya dalam bidang diceburi.
ANTARA produk yang dijual sebelum dipos dan dihantar kepada pelanggan.
Siti Nadirah Hafidzin


Bertubuh kecil molek dan usianya masih muda namun semangatnya untuk berjaya dalam bidang perniagaan cukup tinggi.

Amat mementingkan soal penjagaan diri terutama kecantikan serta kesihatan wajah dan tubuh, menjadikan anak bongsu kelahiran Machang, Kelantan ini terus komited meneruskan impian hati.

Bagi Nik Nur Fatin Nik Hassan, 23, dia memilih bidang perniagaan berasaskan kecantikan dan penjagaan tubuh bukan saja untuk dirinya, malah dapat membantu wanita lain terutama suri rumah menambah pendapatan bulanan.

Menurutnya, dia tidak menjadikan usia sebagai halangan untuk berjaya memandangkan dia juga perlu membuktikan jalan yang dipilih itu terbaik bagi dirinya.

“Walaupun saya belum memiliki produk keluaran sendiri dan kini fokus sebagai stokis dua produk kecantikan, ia sebenarnya pemangkin semangat saya untuk berjaya,” katanya yang menjadi stokis untuk RZN Beauty dan The Beauty Hacks.

Nik Nur Fatin yang kini menetap di Kuala Lumpur berkata, pengalaman dibesarkan di kedai runcit bersama ahli keluarga yang mengusahakan perniagaan berkenaan sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa dan minatnya.

“Bidang perniagaan sudah sebati dengan diri saya dan memandangkan dunia kecantikan amat dekat dengan jiwa wanita, saya memilih untuk terbabit dalam bidang ini.

“Hakikatnya bukan mudah untuk menguruskan perniagaan ini walaupun hanya bergelar stokis kerana disiplin amat penting dan saya perlu sentiasa memastikan jadual harian disusun dengan baik.

“Saya juga sentiasa cuba memberikan perkhidmatan terbaik bagi menarik minat pelanggan di samping menjaga hubungan baik dengan pelanggan dan ejen bagi memastikan proses perniagaan berjalan lancar,” katanya.

Cabaran penguat semangat

Bagi Nik Nur Fatin, lumrah sebagai peniaga perlu berdepan pelbagai suka dan duka terutama pada fasa awal pembabitan.

“Selepas menerima restu daripada ibu dan ayah serta keluarga, saya tekad memberikan sepenuh usaha dalam perniagaan ini.

“Syukur, keluarga tidak menghalang cita-cita saya untuk berjaya dalam perniagaan kecantikan dan saya juga perlu membuktikan pilihan ini terbaik,” ujarnya.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang perniagaan, dia akui tidak terkecuali berdepan dugaan terutama fitnah dan dengki.

“Perkara itu sememangnya menyedihkan terutama apabila ia membabitkan individu yang rapat namun saya perlu kuat untuk berdepan masalah ini.

“Saya tidak mahu dikatakan tidak matang dan walaupun saya masih muda, saya perlu tenang ketika berdepan setiap masalah,” katanya.

Tambah Nik Nur Fatin, dia terus bangkit demi memperluaskan empayar perniagaannya, sekali gus membantu ramai wanita untuk berjaya.

“Selain membantu pelanggan untuk tampil cantik dan sihat dengan menggunakan produk yang dijual, saya juga gembira kerana dapat membantu wanita menambah pendapatan sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 11:48 AM