Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bersetuju dengan kaedah baru penetapan harga siling bahan api yang diputuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, persetujuan itu dinyatakan PDAM dalam perjumpaan dua hari lalu.

"Dalam pertemuan itu, kita sudah berbincang dengan PDAM dan hari ini kita akan berjumpa dengan syarikat pengeluar minyak di negara ini untuk memberi penjelasan kepada mereka.

"Selepas pertemuan antara kementerian dengan syarikat minyak, kita akan mengumumkan harga siling bahan api mengikut kaedah yang lebih jelas kepada mereka termasuk pengguna," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Citarasa Malaysia dan Sehari Bersama Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bimbingan KPDNKK di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Jamil Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) Datuk Basaruddin Sadali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) Datuk Razali Othman.

Hamzah sebelum ini mengumumkan harga siling minyak petrol akan diumumkan setiap minggu mulai bulan depan berbanding ketika ini ia hanya dilakukan sebulan sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 3:25 PM