BERNAMA

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak pernah melantik ejen persendirian untuk berhubung secara langsung kepada pengguna bagi urusan pembayaran bil elektrik, kata Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Pengguna TNB Kamaliah Abdul Kadir.

Mengingatkan pengguna agar tidak terpedaya dengan ejen persendirian atau sindiket dalam urusan pembayaran bil elektrik, beliau berkata syarikat utiliti itu ada menerima aduan pengguna yang tertipu dengan tawaran diskaun bil sehingga 45 peratus.

"Justeru, jangan mudah terpengaruh dengan taktik yang digunakan anggota sindiket," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata TNB menyediakan pelbagai saluran pembayaran bagi memudahkan pengguna dengan bayaran boleh dijelaskan di kaunter pusat khidmat pelanggan TNB, dalam talian, institusi kewangan, agensi kerajaan dan syarikat pihak ketiga yang menjalankan operasi kutipan bil dari utiliti lain serta pembekal perkhidmatan.

"Ejen kutipan hutang TNB hanya akan menghubungi pengguna sekiranya mempunyai tunggakan bil elektrik yang tamat tempoh kredit, namun pengguna tidak perlu membuat bayaran terus kepada ejen berkenaan, bayaran perlu dijelaskan di saluran pembayaran TNB yang sah sahaja," katanya.

Pada 2 Mac lalu, satu portal berita melaporkan kes penipuan menggunakan kiosk bayaran TNB sebagai perantara yang menyasar pemilik premis mempunyai bil elektrik tertunggak menawarkan diskaun sehingga 45 peratus.

Mangsa hanya perlu menghantar imej bil elektrik dan pihak sindiket akan membuatkan bayaran bagi pihak mangsa, dan menghantar kembali imej resit bayaran. Selepas menerima pengesahan pembayaran (daripada sindiket), mangsa akan memasukkan jumlah bayaran ke dalam akaun individu seperti diarahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 9:27 PM