Siti Muhibbah terlantar di Hospital Sultan Ismail akibat kanser payudara tahap empat. (Gambar kanan) Siti Aminah semasa kecil. FOTO ihsan Mohd Salleh
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "Mak rindu dengan adik An. Cukuplah... kasihan mak. Dik, syurga kita ada di tapak kakinya. Apa yang berlaku adik dan mak lupakanlah."

Demikian rintihan seorang abang, Mohd Salleh Atan, 39, yang mahu adiknya, Siti Aminah Atan, 30-an yang menghilangkan diri sejak 2013 supaya pulang ke pangkuan keluarga di Desa Perwira, Taman Johor Jaya, Johor Bahru.

Ibu mereka, Siti Muhibbah Alip, 53, disahkan menghidap kanser payudara tahap empat dan semakin lemah di Hospital Sultan Ismail serta merindui Siti Aminah yang lebih mesra di panggil An.

"Kalau mak salah maafkanlah. Saya merayu pulanglah. Sebelum terlambat nanti menyesal tiada guna.

"Saya ada tanya ketika mak di katil hospital, tapi mak diam. Dalam keadaan macam ini dia macam merindui seseorang," katanya yang bekerja sebagai pembantu dapur di Singapura.

Dia berkata, ibunya kali terakhir bertemu Siti Aminah yang juga anak kelima dari enam beradik pada 2013 di sebuah pasar raya di Johor Bahru iaitu tempat dia dan ibunya sama-sama bekerja.

"Adik berjalan tanpa berpaling apabila saya panggil dia. Sejak hari itu, dia tidak pulang ke rumah.

"Rupa-rupanya semasa pertemuan itu, dia merajuk dengan mak, tapi bila saya tanya mak, dia pun tidak beritahu sebabnya," katanya.

Mohd Salleh berkata, mereka sekeluarga bimbang dengan tahap kesihatan ibu mereka yang semakin merosot sejak disahkan menghidap penyakit itu 4 Mac lalu.

"Saya ada cuba mencari adik menerusi Facebook (FB) sebelum ini, tetapi tersilap orang.

"Jadi saya minta rakan untuk tularkan kisah ini. Moga Allah SWT membalas jasa rakan FB semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 9:29 PM