KISAH masyarakat dulu dan kini dalam Diri, Ilmu & Pencipta.
HUTANG budi antara sikap yang merapatkan silaturahim masyarakat dalam Silaturahim.
TIDAK apa bersusah dulu jika senang kemudian dalam Susah Senang.
ADAB Belajar hasil sentuhan Safar.
SAFAR dan Amy sewaktu majlis perasmian pameran Parallel Poem di Galeri HOM Art Trans.
Siti Salmiah A Hamid


Meskipun masih mencari pengalaman seni, ia tidak menghalang pasangan artis duo ini untuk berkolaborasi bagi melahirkan karya yang memiliki makna tersendiri.

Amy Nazira dan Safar Zin yakin mampu menyinari dunia seni visual tanah air apatah lagi memperoleh pendidikan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang banyak melahirkan artis berbakat dalam pelbagai cabang seni.

Tidak perlu diragukan kebolehan kedua-dua artis ini kerana masing-masing memiliki banyak pengalaman dengan menyertai pelbagai pertandingan seni dan pameran berkumpulan.

Safar, anak kelahiran Kelantan aktif dalam banyak pameran berkumpulan sejak 2015 antaranya ‘Configuration’ di Galeri G13, Art Project Mosaic di HOM Art Trans dan ‘Versus Animal’ #1 di Galeri Chinahouse.

Pencapaian terbaru Amy Nazira apabila memenangi pingat gangsa dalam Pertandingan Lukisan UOB pada November 2016.

Dia juga aktif dalam dunia seni tempatan sejak 2012 dengan mengambil bahagian dalam pertandingan seni dan pameran berkumpulan di galeri seni kontemporari tempatan antaranya HOM Art Trans, Galeri Taksu, Segaris Art Centre, Balai Seni Visual Negara dan Galeri G13.

Ia umpama satu cabaran untuk artis duo ini bagi menghasilkan seni visual yang diadaptasi daripada sastera Melayu.

Kedua-dua artis perlu memilih teks daripada mana-mana pantun sebagai subjek dalam menghasilkan karya untuk pameran ini.

Pantun yang dipilih kemudian ditafsirkan dalam bentuk visual dari sudut pandangan perspektif.

Pameran Parallel Poem memperlihatkan sentuhan artis duo ini dan pandangan dalam membentuk sikap yang baik dan bertolak ansur serta semangat masyarakat.

Ia sekali gus memaparkan unsur positif yang seharusnya perlu dikekalkan dalam situasi masyarakat hari ini.

INFO

PARALLEL POEM

• Artis: Amy Nazira dan Safar Zin

• Jumlah karya: 13

• Lokasi: Galeri HOM Art Trans, 6A Jalan Cempaka 16, Taman Cempaka, Ampang, Selangor

• Tarikh: Sehingga 18 Mac 2017

• Masa: 11 pagi hingga 6 petang

• Telefon: 012 373 6004 (Danial)

• Web: www.homarttrans.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 11:10 AM