Anggota polis mengiring Chan yang didakwa membunuh dan mencederakan pembantu rumah di Jelutong dibawa ke kamar Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan dan membunuh pembantu rumahnya.

Terdahulu, tertuduh Chan Lay Lee, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap pembantu rumahnya iaitu seorang wanita warga Kemboja.

Dia yang juga seorang suri rumah, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Julai 2016 hingga 25 Februari 2017 jam 11 pagi di No 35, Lebuhraya Jelutong.

Dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada Anad, 22, iaitu pembantu rumah warga Kemboja dengan menggunakan besi yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Irwan kemudian menetapkan 11 Mei sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan perubatan dan tidak menawarkan sebarang jaminan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Idris manakala tertuduh diwakili peguam A Ruben.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa membunuh pembantu rumahnya iaitu seorang wanita warga Indonesia.

Mengikut pertuduhan dia didakwa membunuh Jubaedah, 38, di lokasi sama pada 25 Februari antara jam 11 pagi hingga 4.45 petang.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Majistret, Mohamad Amin Shahul Hamid menetapkan 11 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fatin Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 11:52 AM