Rakaman video yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Insiden kekecohan ketika persembahan zapin oleh delegasi Malaysia di Pavilion Malaysia sempena Pesta Buku Antarabangsa Riyadh sedang disiasat agensi keselamatan Arab Saudi bagi mengenal pasti individu terbabit.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini berkata, kementerian Arab Saudi menjelaskan, ia adalah tindakan individu.

Katanya, pada masa sama, persembahan di Pavilion akan diteruskan berikutan sambutan hangat masyarakat Arab Saudi terhadap zapin dan ghazal tetapi sebagai langkah berwaspada, kawalan keselamatan diperketatkan sepanjang persembahan berlangsung.

"Persembahan zapin dan ghazal memeriahkan pesta buku berkenaan yang berlangsung 11 hari sejak 8 Mac lalu atas permintaan Arab Saudi yang melihat seni sebagai satu antara cabang ilmu.

"Bagaimanapun, penari disyaratkan hanya lelaki dan persembahan dua kali sehari itu antara lain bertujuan menarik pengunjung memeriahkan acara ilmu di pesta buku," katanya.

Hari ini, tular dalam Facebook (FB) video seorang lelaki warga Arab membuat kecoh dengan mencampak mikrofon serta alat muzik ke lantai dan membantah acara berkenaan.

Tarian zapin dan ghazal itu dipersembahkan 12 pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor dibawa delegasi Malaysia sebagai memenuhi permintaan penganjur, Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi.

Kementerian Pendidikan berkata, pihak Arab Saudi turut memohon maaf di atas kekecohan kecil berkenaan yang berlaku jam 8.50 malam waktu tempatan (1.50 pagi waktu Malaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 6:42 PM