GAMBAR hiasan
BERNAMA

Teluk Intan: Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 20-an kerana terbabit bersama adiknya yang masih bebas, dalam kes mencuri tabung Masjid Jamek Hutan Melintang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, lelaki berkenaan ditangkap semalam di tepi jalan besar Bagan Datuk, manakala adiknya sedang diburu.

"Hasil siasatan, pelaku jenayah ini adalah penganggur dan terbabit dalam kegiatan salah guna dadah. Malah suspek juga mengaku melakukan kes curi tabung Masjid Hutan Melintang," katanya di sini, hari ini.

Wan Hassan berkata kejadian mencuri tabung masjid itu disedari bilal masjid kira-kira pukul 5.40 pagi sebelum solat Subuh dan kerugian dipercayai berjumlah kira-kira RM6,000.

"Pengadu melihat kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua lelaki memakai topi keledar menggunakan pemotong besi, memotong tiga mangga dan mengambil wang tabung masjid," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua anggota jawatankuasa surau dan masjid agar memasukkan wang kutipan derma ke dalam akaun bank bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 7:40 PM