BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Mac untuk keputusan rayuan akhir empat lelaki yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga pembantunya.

Ketika dihubungi, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili R Matan, berkata mereka menerima surat bertarikh 3 Mac daripada pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan tarikh keputusan itu.

Hisyam Teh Poh Teik, peguam yang mewakili seorang lagi perayu, T Thilaiyalagan, turut mengesahkan tarikh bagi keputusan itu ditetapkan pada 16 Mac.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, ketika dihubungi berkata, beliau dimaklumkan mengenai tarikh keputusan itu semalam.

Pada 8 November tahun lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan rayuan itu selepas mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Panel turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Bekas peguam N Pathmanabhan, 46, dan pekerja ladang Matan, 25, Thilaiyalagan, 24, dan R Kathavarayan, 36, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013, kerana membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didapati bersalah melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Sosilawati dan tiga pembantunya dilaporkan hilang sehari selepas mereka didakwa pergi ke Banting untuk urusan jual beli tanah. Pathmanabhan, Matan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan kalah dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 4 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, seorang daripada tiga hakim dalam panel itu, dalam penghakimannya berkata keterangan langsung menunjukkan bahawa Sosilawati dan pembantunya berada di ladang milik Pathmanabhan ketika mereka menemui ajal.

Peguam Gurbachan Singh turut mewakili Thilaiyalagan manakala Manjeet Singh Dhillon bagi Pathmanabhan dan T Vijayandran bagi Kathavarayan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 9:14 PM