FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang lelaki sanggup terjun dari tingkat dua sebuah hotel bajet di Pusat Perniagaan Bahau di sini, bagi mengelak ditahan pihak berkuasa yang melakukan serbuan, tengah malam tadi.

Lelaki berusia 23 tahun terbabit dipercayai panik apabila bilik dihuninya bersama teman wanita berusia 18 tahun diketuk anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka antara tiga pasangan yang ditahan dalam operasi bersepadu dilakukan polis dan JHEAINS di tiga hotel bajet berasingan.

"Lelaki yang terjun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemeriksaan di hotel seterusnya menemui bungkusan plastik dadah disyaki syabu di dalam bilik yang dihuni pasangan berusia 30-an.

"Pasangan itu pada mulanya mengaku sepupu bagi mengelak ditahan. Namun, pemeriksaan lanjut polis menemui bungkusan plastik berisi syabu seberat 10 gram dan peralatan menghisap dadah yang disembunyikan di koridor bilik itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasangan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, JHEAINS pula menjalankan siasatan terhadap ketiga-tiga pasangan itu mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 5:49 PM