LIRIK single terbaru Terus Mencintai cerita kisah hidupnya.
Norhayati Nordin


Single terbaru Siti Nordiana Alias atau Nana, Terus Mencintai amat istimewa buatnya kerana ciptaan dan lirik ditulisnya sendiri.

Nana mengakui berpengalaman mencipta lagu sebelum ini cuma agak lama tidak mengembangkan bakatnya itu.

Terus Mencintai adalah inspirasi daripada lagu lama dan paparan kisah hidupnya.

Kata Nana, dia pernah menghasilkan lagu sendiri dalam dua album terdahulu, Seribu Setia dan Serikan Wajahmu tetapi mungkin ramai yang tidak tahu.

“Dua lagu ini pernah dimuatkan dalam album ketiga dan keempat saya. Jadi, kini sekali lagi saya pertaruhkan karya sendiri untuk single terbaru,” katanya.

Nana akui bukan mudah menghasilkan lagu dan dia mengambil masa kira-kira setahun untuk menyiapkan lagu itu.

Tahun lalu menerusi single pertama Pesanan Teragung ciptaan Audi Mok dan Omar K mempertaruhkan genre kerohanian.

“Saya akui suka mencuba pelbagai genre muzik dan untuk Terus Mencintai saya memilih pop balada. Saya berharap single ini diterima peminat.

“Saya pilih pop balada kerana melihat kini pengaruh muzik era 1990-an itu kembali jadi perhatian. Ini melalui lagu-lagu lama saya seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih, Gurauan Berkasih, Cinta Hanya Sandaran, Perlukan Mu dan banyak lagi masih diinginkan peminat.

“Untuk single terbaru ini lebih baik saya menjurus pada lagu era 1990-an dulu,” katanya.

Sudah 15 tahun membina karier seni, Nana yang pernah berhadapan situasi jatuh dan bangun dalam industri berkata, dia tak jemu berusaha.

Peluang kedua Nana kembali popular selepas menjuarai program GegarVaganza 2 (GV2) pada 2015 lalu ternyata digunakan sebaik mungkin.

Masih menjadikan karier nyanyian keutamaannya, Nana juga menarik perhatian peminat menerusi bidang lakonan.

Tahun lalu lakonan Nana bersama penyanyi dan pengacara, Alif Satar dalam drama adaptasi novel, Dia Semanis Honey menarik perhatian.

Hingga wujud #takbolehmoveon dalam kalangan peminat Nana dan Alif, keserasian mereka berpanjangan di pentas teater Istana Budaya (IB) pada awal Januari lalu.

Mengulas mengenai bidang lakonan Nana berkata, dia ada mendapat beberapa tawaran berlakon drama tetapi tidak dapat menerimanya kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Buat masa ini saya sibuk dengan aktiviti menyanyi. Selain itu, saya juga meneliti karakter sesuai dan boleh dilakonkan. Tindakan ini bukan kerana bersikap ‘diva’ tetapi tak mahu menyusahkan pihak produksi.

“Apapun, saya tetap akan berlakon dalam satu drama pada hujung tahun ini bersama Alif iaitu Klik! Pengantin Musim Salju,” katanya.

Nana juga akui selesa bekerja dengan pengarah dan penerbit Michael Ang kerana mudah berbincang dan faham jadual dan kesibukannya.

“Jadual kerjanya juga dirancang rapi dan dibuat lebih awal. Jadi bolehlah saya mengatur jadual antara nyanyian dan lakonan. Apa pun, menyanyi adalah keutamaan saya,” katanya.

Nana yang turut dikhabarkan akan muncul dengan buku biografi mengenai perjalanan kisah hidupnya berkata, buku itu baru kira-kira 60 peratus.

“Menulis buku bagi saya bukan perkara mudah, apa lagi kalau berkaitan dengan kisah hidup sendiri. Saya tidak mahu buku itu disiapkan secara terburu-buru tanpa mengambil kira mesej positif yang nak dikongsi bersama pembaca,” katanya.

Selain akan tampil dengan buku, Nana juga akan melancarkan jenama gincu bibir sendiri. Sebagai permulaan, dia akan memperkenalkan tiga warna gincu yang memang menjadi pilihannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:04 AM