Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Muslim yang menyebarkan berita palsu dan fitnah di laman sosial sehingga menjadi viral dalam masa singat diandaikan melakukan perubatan keji.

Malah, individu terbabit sama sekali tidak membayangkan akhlak seorang Muslim.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M, di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Menurutnya, perbuatan itu juga dilihat amat bertentangan dengan ajaran Islam kerana cerita-cerita yang direka itu berniat jahat serta menimbulkan rasa resah dan gelisah dalam kalangan rakyat.

"Ia juga mewujudkan rasa benci dan permusuhan sesama Islam. Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia tidak mudah mempercayai berita palsu di media sosial," katanya.

Katanya, Allah SWT sendiri menggelarkan orang yang menyebarkan berita palsu sebagai fasik.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M tahun ini memilih tema 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' iaitu bertepatan dengan usaha kerajaan mahukan rakyat bersatu padu, bekerjasama dan saling hormat-menghormati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 12:43 PM