Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 1980-an yang sebelum ini hidup dalam gelandangan, Ben Nathan kini tampil lebih kemas seiring dengan hasratnya mahu kembali aktif sebagai penyanyi.

Ben, 54, yang ditemui di program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM di Angkasapuri, di sini, hari ini, tampil berambut pendek selain mengenakan kaca mata.

Selain mengenakan jaket hitam, berkemeja merah dan berseluar hitam, wajah penyanyi yang popular dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati ini lebih kemas tanpa janggut dan misai.

"Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya selama ini. Saya selesa dengan imej ini dan saya juga rasa lebih segar serta kemas," katanya.

Selain itu, Ben atau nama Islamnya, Ben Adam turut merancang untuk mengerjakan umrah selepas sambutan Aidilfitri, Jun ini.

Ben berkata, dia teringin mahu melihat dan merasai sendiri pengalaman berada di Makkah.

Ben yang sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 3 Februari lalu juga gembira sepanjang menjalani rawatan di situ.

"Saya gembira sepanjang berada di sana. Saya juga mengikut semua prosedur yang ditetapkan, malah saya tak merungut pun dengan makanan yang disediakan.

"Apa yang penting saya berpuas hati dengan layanan diberikan pihak hospital. Sepanjang di sana banyak aktiviti yang disediakan dan saya tak ketinggalan untuk turut serta. Jadi, saya tak bosan dan sesekali saya turut menghiburkan kakitangan wad," katanya.

Dalam pada itu, Ben juga akan menjalani rakaman lagu terbarunya di Jakarta, Indonesia selepas Aidilfitri ini.

"Kalau ada rezeki, saya juga akan menjalani rakaman muzik video di sana nanti. Jadi, saya berharap semuanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) Datuk DJ Dave berkata, Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan bakal diadakan pada 21 Mei ini di Saloma Bistro, Jalan Ampang, di sini.

Dave berkata, konsert amal itu bertujuan untuk membantu Ben dan pihaknya menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM50,000.

"Penganjuran konsert ini antara satu daripada langkah kami untuk membantu Ben. Pada acara itu saya mengalu-alukan rakan penyanyi lain untuk membuat persembahan amal.

"Kami bakal menjual meja dan keseluruhan hasil jualan diserahkan kepada Ben. Ia terbuka kepada semua pihak termasuk peminat Ben," katanya.

Menurut Dave, idea mengadakan persembahan amal itu datang daripada ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir atau Jojo.

Berkongsi mengenai keadaan Ben, dia kini masih menjalani rawatan di HKL dan menunggu masa sesuai untuk dibawa pulang ke rumah keluarganya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Ben hidup sebagai gelandangan selama 24 tahun dan kerap dilihat di sekitar Jalan Travers, Pasar Seni dan Brickfields, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 1:06 PM
WAJAH baru Ben - FOTO Sudirman Mohd Tahir