Othman (dua kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MADACorp, Shakir Jamil Fisal (tiga kiri) dan Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali (kiri) melihat dron yang digunakan. FOTO  Shahrul Hafiz Zam
Othman (dua kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MADACorp, Shakir Jamil Fisal (tiga kiri) dan Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali (kiri) melihat dron yang digunakan. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Penggunaan dron untuk menyembur racun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tidak akan menyebabkan pencemaran udara sehingga menjejaskan kesihatan penduduk.

Pengerusi MADA Datuk Othman Aziz berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai penggunaan dron kerana ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan ketinggian penerbangan antara dua hingga tiga meter saja.

Katanya, isu pencemaran seperti disuarakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak berasas kerana MADA menerusi Pusat Latihan Padi MADA (MRTC) sudah melatih pengendali dron mengikut SOP ditetapkan.

“Paras penerbangan dron ketika penyemburan adalah 2.5 meter daripada tanah, ketika penyemburan, dron yang diterbangkan sentiasa berada dalam penglihatan pengendali iaitu tidak terlindung daripada pokok, bukit, premis atau bangunan.

“Malah racun juga dibancuh mengikut sukatan selain menggunakan racun yang disahkan oleh Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP). Jadi tidak timbul soal pencemaran udara serta kepada penduduk sekitar,” katanya ketika diminta mengulas bantahan CAP yang mendakwa penggunaan dron untuk semburan racun akan menyebabkan pencemaran udara serius dan mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk sekitar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Inovasi Teknologi MADA, Pelancaran Perkhidmatan Dron, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 2:30 PM