Ahmad Amri (kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di perairan Pantai Geting. FOTO Mohamed Zulhairie Manzaidi.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menahan dua lelaki yang dipercayai menyeludup masuk rokok bernilai RM1.08 juta di perairan Pantai Geting, di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dilakukan Unit Risikan Marin (URM) selepas menerima maklumat awam pada jam 1.40 pagi.

Katanya, dua lelaki itu ditahan bersama 150 kotak rokok putih jenama NXY dan sebuah bot pancung.

"Lelaki berusia 30 dan 35 tahun itu dipercayai mendapatkan bekalan rokok dari Thailand untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan.

"Ini rampasan kedua PPM Pengkalan Kubor membabitkan rokok tahun ini," katanya ditemui di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 4:44 PM