X
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Surabaya: AirAsia Indonesia mengesahkan penerbangan pesawatnya dari Surabaya ke Singapura dibekukan sehingga selesai siasatan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko, berkata Kementerian Pengangkutan Indonesia sudah mengeluarkan arahan untuk membekukannya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan kementerian bagi membantu proses siasatan.

"Saya tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan buat masa ini kerana ia masih dalam siasatan," katanya kepada pada sidang media, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mendapati nahas pesawat QZ8501 mempunyai kaitan dengan pelanggaran waktu operasi oleh AirAsia Indonesia bagi laluan berkenaan.

Siasatan awal menunjukkan pesawat terbabit tidak dibenarkan melakukan penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada hari kejadian iaitu Ahad, 28 Disember dan tidak meminta untuk menukar jadual penerbangan.

The Wall Street Journal pula, melaporkan bahawa syarikat penerbangan tambang murah itu hanya mempunyai kebenaran pada Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu, pada akhir 2014 dan awal 2015.

Tapi, Pengarah Udara PT Angkasa Pura, Tommy Soetomo dipetika pula mengatakan AirAsia mempunyai slot untuk terbang pada hari nahas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 10:07 PM