Rizar Mohd Noor
sukan@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Benjamin Mora tampak tenang selepas skuadnya diundi menentang Pahang pada suku akhir Piala FA, hujung bulan ini.

Apa pun Mora enggan memikirkan pertembungan dua seteru utama dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) itu, sebaliknya beliau mahu memberi tumpuan bagi persiapan menentang Global FC pada aksi Kumpulan F Piala AFC di Stadium Larkin, malam esok.

Katanya, perancangan untuk menentang Pahang tetap bermain di fikirannya sebaik mengetahui undian yang dijalankan semalam, namun ketika ini beliau lebih mengutamakan aksi menentang kelab dari Filipina untuk memburu tangga teratas kumpulan.

“Tetap memikirkan perancangan untuk berdepan Pahang tapi tidak secara mendalam kerana saya tidak mengetepikan apa jua taktikal untuk aksi suku akhir itu malah apabila tiba masanya yang sesuai barulah persiapan lebih rapi akan dibuat.

“Kami ingin mengulangi kejayaan menjuarai piala itu musim lalu dan perlu bersedia berdepan dengan mana-mana pasukan dan pada aksi suku akhir nanti kami akan hadir dengan lebih mantap.

“Kami pernah tewaskan Pahang 3-2 pada aksi Liga Super dan tahu cara permainan pasukan itu dan kami ada banyak masa untuk membuat persiapan bagi mengharungi aksi pertama suku akhir di tempat lawan,” katanya.

Kelmarin, pada pusingan ketiga Piala FA, skuad Harimau Selatan tidak berdepan masalah untuk menewaskan UiTM FC 4-0 menerusi dua gol Gonzalo Cabrera (gambar) manakala Hazwan Bakri dan Fadhli Shas turut menyumbang satu gol.

Mora juga menegaskan selepas aksi menentang kelab dari Filipina itu, beliau akan menggunakan tempoh rehat itu untuk membentuk taktikal yang ampuh sebelum aksi pertama suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 11:03 AM