ROLLS-Royce Ghost Series II.
Oleh Erywan Norshal


Model ikonik Rolls-Royce akhirnya dilancarkan di negara ini menerusi model terbaru Ghost Series II dengan ciri mewah yang tiada tandingannya.

Sejak kehadirannya pada 2009, model Ghost menjadi simbol keung­gulan usahawan berjaya di seluruh dunia dan Malaysia. Namun, jentera dalam segmen kereta super mewah model terbaru itu menerima penambahbaikan membabitkan teknologi, reka bentuk dan ciri kejuruteraan inovatif, sekali gus menjadi pilihan golongan eksekutif.

Ia juga menjadi kereta paling 'dihormati' dalam sejarah automotif berikutan kecemerlangannya dalam ketahanan dan keselesaan, malah sinonim dengan sebuah jentera Rolls-Royce yang moden, elegan serta dinamik.

Bagi pasaran negara ini, Ghost Series II ditawarkan dalam dua varian iaitu versi Standard Wheel Base dan Extended Wheel Base. Kedua-duanya menggunakan unit enjin V12 dengan 48 injap.

Ia mampu menghasilkan kuasa mencecah 563 bhp pada 5,250 rpm dan tork maksimum 780 Nm pada 1,500 rpm, sekali gus mampu memecut sehingga 250 km sejam.

Kereta itu juga dibantu teknologi transmisi-sokongan-satelit GPS yang menganalisis data pemetaan bentuk muka bumi bagi membantu pengguna menggunakan gear tepat dan kawalan kenderaan lebih cekap.

Wajahnya lebih segar selepas dinaik taraf supaya lebih kontemporari dengan menampilkan lampu utama LED direka semula serta digabungkan dengan lampu nyalaan siang (DRL).

Tempat duduk depannya turut direka semula dengan ruang kaki lebih luas sehingga 60 milimeter (mm), yang mana posisinya boleh dilaras secara automatik. Tempat duduk belakangnya pula diubah sudutnya untuk membolehkan perbualan di antara penumpang menjadi lebih selesa.

Ghost Series II yang dijual pada harga bermula RM2 juta itu meneruskan ciri keunikan reka bentuk mewah dan kekemasan reka dalaman menerusi penggunaan 'Full Grain Leather', kulit berkualiti ting­gi seperti digunakan dalam model Phantom.

Ciri teknologinya ditingkatkan dengan dilengkapi sistem Penglihatan Malam yang berfungsi mengenal pasti haiwan dan pejalan kaki. Ciri pengendaliannya pula dipadankan dengan Pakej Pemanduan Dinamik, selain padanan gegalas hidraulik pada gandar belakang meningkatkan tahap pemanduan dan kestabilan.

Pada masa sama, ia mampu mengurangkan getaran dan bu­nyi bising di dalam kabin, terutama kenderaan dilengkapi roda bersaiz 21 inci, kali pertama buat model Ghost Series II.

Sementara itu, Pengarah Urusan Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Datuk Michael Ong berkata, Malaysia memiliki pasaran kereta mewah yang berpotensi daripada segi jumlah jualan dan peningkatan permintaan dalam kalangan peminat segmen berkenaan.

Katanya, ia terbukti dengan kehadiran pelbagai jenama kereta mewah di negara ini dan kebanyakan pembeli adalah individu korporat yang mahukan kereta dengan kualiti pemanduan dan lambang kemewahan.

"Permintaan pasaran kini masih kukuh di Malaysia walaupun ia semakin matang susulan kehadiran pelbagai jenama mewah lain di negara ini.

"Ghost adalah model paling berjaya di pasaran Malaysia dan reputasi ini membantu kami memenangi hati pembeli segmen kereta mewah di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:00 AM