SENAPANG angin yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Mohd Hafizee Mohd Arop


Seri Iskandar: Polis menahan dua lelaki dan rampas senapang angin buatan sendiri serta 11 bebola besi dalam serbuan di rumah di Kampung Gajah, 3.20 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis menyerbu rumah berkenaan untuk menangkap suspek berhubung satu kes ugutan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, pemeriksaan kemudiannya menemui senapang angin berkenaan bersama 11 bebola besi dan satu teropong yang disorokkan di dalam bilik.

"Kedua-dua suspek berusia 30-an yang ditahan positif Methampetamin manakala seorang suspek mengaku memiliki senapang berkenaan dan memberi alasan digunakan untuk menembak ayam hutan.

"Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 10:35 PM