YATT dan suami bersama Suci Hanania serta Suci Humaira.
YATT dan suami bersama Suci Hanania serta Suci Humaira.
Ridzuan Abdul Rahman


Kehadiran Suci Humaira Iqlima berusia dua bulan melengkapkan kebahagiaan rumah tangga pelakon dan pengacara Yatt Hamzah dengan Mohammad Zulfadli Khiruddin yang genap setahun pada 27 Februari lalu.

Biar sesibuk mana pun aktiviti harian sebagai ahli perniagaan serta komitmen lain, Yatt tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

Kepuasan jelas tergambar di wajahnya ketika mengadakan majlis akikah dan cukur jambul anak keduanya itu, baru-baru ini.

“Ketika suami berada di Syria baru-baru ini, saya berbincang dengan keluarga dan mentua untuk mengadakan majlis itu.

“Suami baru saja kembali ke tanah air minggu lalu dan kami mengadakan majlis sambutan hari jadinya. Minggu ini majlis untuk anak pula. Persiapan dilakukan di saat-saat akhir, tapi syukur semuanya berjalan lancar,” katanya.

Kasih sayang Yatt terhadap anak sulung menerusi perkahwinan terdahulu, Suci Hanania Malika, 7, tidak pernah berubah dengan kehadiran Suci Humaira.

“Biasalah mula-mula saya mengandungkan anak kedua, dia nampak mengada-ngada sebab nakkan perhatian. Sekarang pun masih sama, tapi ini proses biasa kerana dia sebelum ini tiada adik.

“Tapi Nia (Suci Hanania), pandai menyesuaikan diri dan sangat sayangkan adiknya. Dia juga boleh uruskan adiknya dengan baik. Kasih sayang kami kepadanya tetap tak berubah. Saya harap dia boleh jadi contoh yang baik untuk adiknya.

Masih terima tawaran berlakon

Senarai pertama dalam carta hidup Yatt sekarang ialah keluarga, kedua perniagaan dan ketiga ialah tawaran sebagai pengacara forum atau terbabit dalam misi kemanusiaan seperti dilakukannya sebelum ini.

“Begitu juga tawaran berlakon diletakkan di tangga ketiga kerana saya pasti mendahulukan keluarga dan perniagaan. Ia bukan cabang utama dalam hidup lagi.

“Bagaimanapun seni tetap berada dalam hati saya. Tak dinafikan saya rindu juga tapi kenalah tengok saat dan ketika yang sesuai sekiranya nak berlakon atau mengacara,” katanya.

Biarpun sudah berhijrah, Yatt tidak menafikan masih didatangi tawaran berlakon daripada beberapa produksi.

“Memang ada tapi tak banyak berbanding dulu. Suami beri kebenaran saya berlakon asalkan wataknya bersesuaian.

“Baru-baru ini pun saya berlakon drama terbitan JS Production yang akan ditayangkan Ramadan nanti. Namun, kemunculan saya hanya sebagai cameo,” katanya.

Yatt gembira kerana banyak syarikat produksi faham dengan imej terbarunya dan menawarkan watak yang sesuai. Malah, semakin banyak syarikat produksi sekarang menghasilkan drama berunsur Islamik.

“Saya memang menyokong syarikat produksi begini dan teringin nak terbabit sama. Kami pun dalam perancangan untuk hasilkan produk sendiri.

“Bagaimanapun untuk permulaan biarlah kami buat yang kecil-kecil dulu seperti filem pendek. Kami nampak media sosial boleh digunakan untuk kempen kepentingan hidup beragama,” katanya yang mengharapkan sokongan ramai dalam usaha ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 5:02 AM