HAZWAN (kiri) diasak pemain Global FC Amani Aguinaldo.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mudah menjinakkan Global FC 4-0 untuk kembali melonjak ke tangga teratas Kumpulan F pada aksi Piala AFC di Stadium Larkin, malam tadi.

Gol Mahali Jasuli dan kapten Safiq Rahim menerusi sepakan penalti pada babak pertama serta jaringan pemain gantian Brian Fereirra dan Marcos Antonio di hujung babak kedua membantu skuad Harimau Selatan menamatkan pusingan pertama saingan itu dengan mengumpul tujuh mata manakala kelab Filipina itu kekal dengan enam mata.

Sebaik aksi bermula, skuad Harimau Selatan tampak menguasai perlawanan dan seawal minit keenam gerakan menarik Hazwan Bakri berjaya melepasi perangkap ofsaid hasil umpanan Gonzalo Cabrera sempat dihadang penjaga gol, Patrick Deyto.

Cabrera nyata menjadi duri dalam daging buat skuad kendalian Toshiaki Imai apabila sering memulakan gerakan menarik dan bola umpanannya kepada Safiq dan kemudian menolak tepat buat Gabriel Guerra melakukan rembatan kencang pada minit ke-13 hanya sipi dari pintu gol.

Biarpun mengasak bertubi-tubi namun masih belum mampu merobek gawang pelawat dan pada minit ke-15 rembatan Hazwan hasil umpanan Cabrera memaksa Deyto merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Selepas bertali arus mengundang cemas benteng pelawat, gol yang dinanti-nanti anak didik Benjamin Mora hadir pada minit ke-30 apabila bola tolakan Safiq masih mampu buat Mahali yang sudah dikepung tiga pertahanan pelawat merembat kencang menewaskan Deyto.

Dua minit kemudian, Hazwan dikasari Amani Aguinaldo dalam kotak penalti dan pengadil dari Korea Selatan, Kim Dae Yong tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Safiq yang mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah untuk merembat bola kencang menewaskan Deyto bagi memastikan tuan rumah selesa dengan kedudukan 2-0 sebelum melangkah ke bilik persalinan bagi mengakhiri babak pertama.

Ketinggalan 0-2, pelawat tampak begitu agresif memulakan aksi babak kedua apabila melancarkan serangan ke kubu tuan rumah namun sukar untuk menembusi benteng yang dikawal Marcos Antonio dan Fadhli Shas.

Ketika aksi berbaki tiga minit, Ferreira melenyapkan sisa perjuangan Global FC apabila menjaringkan gol ketiga buat tuan rumah apabila menerima bola umpanan jauh Guerra.

Pada minit akhir perlawanan, Antonio melengkap kemenangan bergaya tuan rumah apabila menanduk masuk sepakan percuma Guerra bagi menceriakan penyokong tuan rumah dengan kemenangan besar 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 8:43 AM