Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan : Indentiti tiga mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Teluk Intan - Sitiawan di Batu 14 Lekir di sini, malam tadi, dikenal pasti sebagai Chuah Yeong Boon, 39, Chuah Soon Kok, 62, dan Tan Siew Hock, 57.

Kemalangan membabitkan Toyota Altis dan lori kren Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 11.15 malam itu, turut mengakibatkan dua lagi penumpang Toyota Altis cedera iaitu Ang Kok Keong, 48 dan Lai Kim Hooi, 62.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, semua mangsa kemalangan itu berkerja sebagai nelayan dan tinggal di sekitar Pantai Remis.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta dinaiki lima mangsa terbabit dari arah Teluk Intan menghala Sitiawan apabila melanggar sisi kiri lori kren TNB yang dipandu lelaki berusia 49 tahun dari arah bertentangan.

"Lori itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika mahu membelok ke simpang kanan. Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri lori itu.

"Akibat kemalangan itu, Yeong Boon yang memandu kereta, penumpang depan Soon Kok dan penumpang belakang, Siew Hock, meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan dan mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang depan lori kren TNB berusia 30 tahun, tidak cedera.

"Kita menahan pemandu lori terbabit untuk siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 9:25 AM