Mohd Fadly Samsudin


Dengkil: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dalam kebakaran di Taman Gemilang, Dengkil, awal pagi, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya Izman Adnan berkata, kebakaran pada 4.20 pagi itu membabitkan tiga rumah teres yang setiap satu mempunyai keluasan 94 meter persegi.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam bilik tidur selepas operasi pemadaman selesai.

Beliau berkata, seorang adik mangsa berjaya diselamatkan dalam tragedi itu.

Setakat ini, Identiti mangsa yang maut serta mereka yang menjadi mangsa kebakaran itu belum diketahui.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 5.14 pagi dan ketika ini, pihaknya bersama 20 anggota dari BBP Cyberjaya serta BBP KLIA sedang melakukan pemeriksaan akhir di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 9:34 AM
Tiga rumah di Taman Gemilang, Dengkil, terbabit dalam kebakaran awal pagi tadi, menyebabkan seorang kanak-kanak empat tahun maut. - Foto SAMADI AHMAD