PANTAU pergerakan anak.
ANAK-kanak kecil gemar menconteng.
Siti Nadirah Hafidzin


Sunyi saja rumah, apa yang si kecil lakukan? Kenapa setiap dinding di rumah berconteng? Aduh, tertekannya, bagaimana hendak bersihkan semua ini?

Itu antara persoalan membelenggu ramai ibu bapa atau penjaga yang berdepan dengan kerenah anak suka menconteng. Mengapa anak kecil suka menconteng? Apakah yang mendorong mereka berkelakuan begitu?

Bayi dan kanak-kanak hanya akan berinteraksi dengan objek yang dapat mereka capai. Objek itu pula dapat dicapai kerana ia diletakkan di tempat yang mudah diambil.

Rupa-rupanya, tabiat menconteng itu sesuatu yang berlaku disebabkan ibu bapa atau penjaga itu sendiri. Memang ia berkait dengan sifat ingin tahu anak tetapi perlakuan itu disebabkan adanya rangsangan yang disediakan dengan mudah seperti pen yang boleh dicapai dengan mudah.

Masa tenang

Menurut Perunding Kanan (Pendidikan & Keibubapaan) Ikhwah Training & Resources Nur Firdaus Abdul Razak, dalam psikologi pendidikan, menconteng dianggap sesuatu yang baik untuk anak.

“Ini antara perkembangan mereka, cuma ibu bapa perlu membezakan menconteng yang baik dan tidak baik.

Sekitar usia 12 bulan, bayi sudah boleh memegang dan menggenggam objek tertentu dengan kuat. Kebanyakan ibu bapa memilih untuk mendedahkan bayi kepada aktiviti menulis atau mewarna.

“Dalam keadaan pergerakan yang masih agak terbatas, mudah untuk ibu bapa melatih mereka melukis dalam ruang khas yang disediakan namun ia akan berubah mengikut perkembangan usianya,” katanya.

Nur Firdaus berkata, menconteng atau lebih tepatnya melakar ialah satu bentuk luahan kanak-kanak.

“Jika kita belajar mengenai ekspresi seni kreatif, kita akan memahami mereka dengan sangat baik malah, seni dianggap sebagai satu bahasa yang tidak memerlukan huruf dan perkataan.

“Jika kita mampu membacanya, kita sebenarnya dapat memahami apa yang diluahkan mereka,” ujarnya.

Katanya, melakar mempunyai banyak kelebihan terhadap perkembangan awal kanak-kanak.

“Namun ada satu kelebihannya yang kurang diberi perhatian oleh kebanyakan ibu bapa iaitu aktiviti itu menenangkan.

“Aktiviti ini membuatkan anak diam, tenang dan menghabiskan banyak masa mereka dengan menconteng,” katanya.

Nur Firdaus berkata, menyedihkan apabila ramai ibu bapa berasa amat tertekan sekiranya anak kecil mula menconteng.

“Masalahnya apabila mereka menconteng di tempat yang tidak sesuai dan ia juga berlaku kerana kekurangan perhatian daripada ibu bapa yang mungkin sibuk dengan tugasan masing-masing.

“Kebanyakan ibu bapa memilih menggunakan gajet bagi membolehkan anak kecil mereka diam dan duduk di satu-satu tempat. Namun, ia ternyata langkah salah dan tidak membantu perkembangan holistik mereka, malah boleh mendatangkan banyak kesan negatif berbanding positif.

“Hakikatnya, lebih baik anak diam dengan aktiviti yang berfaedah seperti menulis atau menconteng sekali gus dapat merangsang perkembangan mereka dan penting untuk menyediakan tempat aktiviti si kecil ini,” katanya.

Berikut langkah boleh dilakukan ibu bapa atau penjaga:

1. Sediakan kelengkapan yang sesuai

Bayi dan kanak-kanak belum boleh memegang alat tulis dengan betul. Oleh itu, penggunaan pen, pensel, juga pen berwarna tidak sesuai. Pilihan terbaik ialah krayon.

2. Sediakan ruang khas secara konsisten

Mulakan dengan sebuah buku kertas lukisan. Ia perlu konsisten untuk ‘memberitahu’ anak segala aktiviti melakar hanya boleh dilakukan pada buku itu saja.

3. Perlu sentiasa berada di sisi mereka

Kanak-kanak kecil sangat kreatif dan akan sentiasa mencuba perkara baru. Jika tidak dipantau, mereka akan memanjangkan lakaran ke lantai, meja dan dinding.

Tidak semestinya anda melukis bersama-sama si kecil, hanya lakukan kerja di sebelah mereka juga sudah memadai. Kuncinya ialah memantau aktiviti mereka.

4. Bebaskan mereka dengan corak pilihan masing-masing

Aktiviti ini satu cara untuk menzahirkan perasaan. Biarkan mereka memilih corak ketika usia ini. Pastikan ia sentiasa selari dengan fitrah yang betul dan jangan memaksa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 12:38 PM