MEGAT (kiri) menunjukkan senjata barangan yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Enam ahli kumpulan samun termasuk seorang wanita ditahan di sekitar Seri Kembangan, di sini, dalam operasi khas 10 hingga 14 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, kumpulan penjenayah itu terbabit dengan kes samun di Serdang Perdana di sini, 10 Mac lalu.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, suami isteri kerugian RM8,000, katanya.

"Mangsa disamun dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol yang diselitkan di bahagian pinggang seorang suspek.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian RM8,000 apabila barang kemas, telefon pintar dan wang tunai dilarikan penjenayah berkenaan," katanya.

Megat berkata, hasil maklumat diperolehi, pihaknya membuat operasi khas bagi menahan ahli kumpulan samun berkenaan pada 10 hingga 14 Mac lalu.

"Kami menahan lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 26 hingga 45 tahun yang terbabit dalam kejadian itu di sekitar Seri Kembangan, di sini.

"Dalam operasi berkenaan, kami turut merampas Honda Civic yang dilaporkan hilang di Desa Jaya, Sungai Buloh serta revolver, senjata api menyerupai Stone Rifle M16, tujuh peluru, dua kelonsong peluru, topeng muka dan parang yang digunakan untuk kegiatan samun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 4:31 PM