Tertuduh, Seah bersaudara, Tan dan Tee dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Empat rakan termasuk dua beradik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada tuduhan mengedar heroin seberat 305.6 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh iaitu Seah Chee Chong, 37; Seah Chee Yien, 41; Tan Siew Kee, 61; dan Tee Hock Lian, 44.

Dalam penghakimannya, Collin berkata, keterangan antara ejen penyamaran sulit dengan pegawai tangkapan.

“Tiada rundingan berlaku antara pembeli dan penjual, malah tiada duit terbabit dalam transaksi berkenaan,” katanya.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengedar dadah terbabit di tempat letak kereta berhadapan tandas lelaki, Plaza Tol Skudai, KM15, Lebuhraya Utara Selatan, Off Jalan Senai dekat Kulai, jam 9 malam, 19 Mei 2014.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seramai tujuh saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Tan diwakili peguam Sukhaimi Mashud, manakala tiga yang lain diwakili peguam G Subramaniam Nair.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 7:16 PM