Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Pelajar tingkatan dua sekolah menengah di daerah ini disahkan dijangkiti hemofilus influenza B semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Zailan Adnan berkata, pelajar berkenaan demam dan batuk sebelum dibawa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pelajar itu menjalani kit ujian pantas dan disahkan dijangkiti hemofilus influenza B.

Menurutnya, ketika ini pelajar itu berada di rumahnya untuk berehat sementara waktu.

"Pelajar itu sudah diberikan ubat oleh doktor termasuk antibiotik dan diberikan cuti sehingga sembuh.

"Dia juga turut dinasihatkan tidak berhubung dengan ramai orang sehingga sembuh," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dr Zailan berkata, setakat ini hanya satu kes dikesan dan ia disahkan bukan wabak.

Beliau berkata, setakat ini keadaan terkawal dan tiada sebab untuk orang ramai berasa cemas dengan keadaan itu.

Ketika ini Perak dan Kelantan dijangkiti Influenza A (H3) dan virus H5N1 dengan ramai orang sudah mendapatkan rawatan di klinik dan hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 11:24 PM