BEN Affleck berjaya tamatkan rawatan ketagihan alkohol.
Syafil Syazwan Jefri


Ketagihan alkohol menjejaskan kehidupan dan reputasi bintang Hollywood, Ben Affleck. Itulah yang diluahkan Affleck yang berjaya menamatkan rawatan ketagihan alkohol, baru-baru ini. Dalam satu laporan media antarabangsa, Ben memaklumkan dia mendambakan kehidupan yang lebih baik.

“Saya mengikuti program pemulihan bagi mengatasi masalah ini. Ia bukan proses mudah jika kita tidak kuat semangat.

“Saya mahu gaya hidup lebih sihat dan menjadi bapa yang baik buat anak,” katanya.

Menurut pelakon berusia 45 tahun itu lagi, dia sentiasa mendidik anaknya untuk tidak malu mendapatkan bantuan sekiranya perlu.

“Saya mahu buka mata anak supaya jangan malu minta pertolongan orang lain terutama jika ada masalah ketagihan alkohol seperti saya.

“Bukan sahaja kepada anak, saya juga ingin menjadi contoh kepada orang ramai untuk tidak takut melakukan langkah pertama dengan mendapatkan bantuan mereka yang arif,” kata Affleck.

Kata Affleck, dia bertuah kerana memiliki keluarga dan rakan yang tidak jemu memberikan sokongan kepadanya.

“Keluarga dan rakan sentiasa ada bersama saya. Isteri juga menjaga kebajikan anak kami,” katanya.

Hasil perkahwinan dengan Jennifer Garner, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Violet, 11, Seraphina, 8 dan Samuel, 5.

Meskipun tidak bercerai, pasangan ini memilih hidup berasingan pada Jun 2015 selepas 10 tahun hidup bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 5:01 AM