Agensi

Pekanbaru: Sebuah jet pejuang F-16 milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) terbabas sebelum terbalik ketika mendarat di Pangkalan Udara Rusmin Nuryadi sini kelmarin.

Jurucakap TNI AU, Marsma Jemy Tri Sonjaya berkata, kejadian berlaku pada jam 5.25 petang (waktu tempatan) ketika pesawat itu mendarat di landasan.

“Kejadian ini berlaku apabila jet F-16/TS 1603 terbabas dari landasan ketika mendarat.

“Insiden ini dipercayai berpunca daripada sistem brek pesawat yang tidak berfungsi.

“Dua juruterbang jet berkenaan, Mejar Andri dan Leftenan Marko selamat dan tidak mengalami sebarang luka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pesawat berkenaan sudah ditarik ke hangar untuk pemeriksaan dan baik pulih.

Beberapa gambar yang disiarkan media menunjukkan jet pejuang itu terbalik di hujung landasan.

Jentera bomba juga dilihat mengeliling jet pejuang berkenaan tetapi tiada kebakaran kelihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 7:56 AM