Zulhilmi ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, bagi menghadapi tuduhan menerima lebih RM2.75 juta hasil pengubahan wang haram. - Foto SHAHRIZAL MD NOOR
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Penganggur, Zulhilmi Mat [email protected], 34, didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan menerima lebih RM2.75 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram antara November 2014 hingga Januari 2015.

Zulhilmi bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Najwa Che Mat dan Zulhazmi Abdullah

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen 4, Zulhilmi berpakaian baju T merah dan seluar jeans biru, mengaku tidak bersalah bagi empat pertuduhan menerima RM2.3 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram antara November 2014 hingga Januari 2015.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa menerima lebih RM2.14 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram ke dalam akaunnya di Maybank cawangan Mergong. Seberang Jalan Putra, di sini, antara 30 Oktober 2014 hingga 30 Januari 2015.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa menerima RM222,100 hasil aktiviti pengubahan wang haram ke dalam akaunnya di RHB Bank Berhad Cawangan Alor Setar, Seberang Jalan Putra, di sini, pada 5 November 2014 hingga 30 Januari 2015.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 5, bagi pertuduhan pertama dia didakwa menerima RM290,000 hasil aktiviti pengubahan wang haram ke dalam akaunnya di Maybank Cawangan Mergong pada 29 Disember 2014.

Pertuduhan kedua, dia didakwa menerima RM60,000 hasil aktiviti pengubahan wang haram ke dalam akaunnya di CIMB Bank Berhad, Seberang Jalan Putra, Mergong, pada 15 November hingga 26 Disember 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima RM102,749.9 hasil aktiviti pengubahan wang haram ke dalam akaun Public Bank Berhad, Jalan Telok Wanjah, di sini, pada 15 Januari hingga 26 Januari 2015.

Zulhilmi tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin manakala tertuduh diwakili Muhammad Syafiq Salleh.

Najwa membenarkan tertuduh diikat jamin sebelum membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk sebutan semula pada 3 Mei 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 1:27 PM