MANGSA terbabit kemalangan sebelum sempat mengambil slip keputusan SPM. FOTO ihsan Pembaca
MANGSA terbabit kemalangan sebelum sempat mengambil slip keputusan SPM. FOTO ihsan Pembaca
Mohamed Sahidi Yusof


Tanah Merah: Remaja lelaki tidak sempat mengambil slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini selepas maut dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Tanah Merah-Jedok dekat Kampung Manal, 10.45 pagi tadi.

Dalam kemalangan itu, Shamirul Hakim Mohd Sanadi, 18, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, arwah pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Ihsan, di sini lulus semua subjek yang diambilnya dan slip keputusan itu masih berada di sekolahnya.

Menurut rakannya, Mohd Iskandar Ismail, 18, arwah pada mulanya enggan mengikutnya ke sekolah apabila diajak mengambil keputusan memandangkan sedang bekerja di restoran nasi daun pisang di bandar ini.

"Apabila dia enggan, saya kemudian menunggang motosikal saya dan terus ke sekolah tetapi di pertengahan jalan, saya melihat motosikalnya mengekori saya dari belakang.

"Arwah ajak saya ke rumahnya dulu di Kampung Padang Lalang, Keleweh kerana mahu mengambil wang untuk menjelaskan hutang sekolah dan kami sama-sama berpatah balik ke arah rumahnya.

"Dalam perjalanan itulah, motosikalnya kemalangan apabila merempuh belakang lori yang mahu membelok ke kanan jalan," katanya ketika ditemui di Hospital Tanah Merah (HTM) di sini, hari ini.

Mayat Shamirul Hakim dihantar ke HTM untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamed mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 7:19 PM