Lelaki yang ditahan bersama pikap dicurinya. - Foto Ihsan PDRM
Mohd Rizal Abdullah


Bintulu: Polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar sebuah Toyota Hilux yang baru dicuri seorang lelaki berhampiran satu simpang empat Jalan Kidurong, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, suspek berusia 33 tahun baru beberapa jam mencuri kenderaan itu di kawasan Kampung Baru.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zailani Amit berkata, anggota polis dari cawangan kereta peronda (MPV) ternampak kenderaan berkenaan di satu persimpangan lampu isyarat Jalan Kidorong dan cuba menahan suspek.

Bagaimanapun menurutnya, suspek enggan memberhentikan kenderaan sebaliknya memecut menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan.

“Kenderaan dipandu suspek hilang kawalan sebelum terhenti dan lelaki berkenaan berjaya ditahan," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek turut mencuri sebuah lori pada hari sama di sekitar Bintulu dan kes disiasat mengikut seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 10:45 AM