Anggota polis wanita berpangkat sarjan berusia 27 tahun (tengah) diperintah reman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Rizanizam Abdul Hamid


Ayer Keroh: Seorang sarjan polis wanita direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan kes menerima suapan untuk melepaskan seorang lelaki yang ditahan atas kesalahan memiliki air ketum.

Perintah reman terhadap anggota berusia 27 tahun itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin bermula hari ini sehingga Ahad ini.

Suspek yang diwakili peguambela James Thanjong Tuan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, wanita itu dikatakan meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM6,000 daripada seorang pengadu lelaki berusia 31 tahun bagi melepaskan adik pengadu yang ditangkap atas kesalahan memiliki air ketum.

Suspek ditahan ketika SPRM memasang perangkap di sebuah premis makanan segera di Alor Gajah, kira-kira jam 5 petang petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 4:35 PM