ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anggota polis mengusung mayat mangsa yang kelima. FOTO Syarafiq Abd Samad
Siraj Mohd Zaini


Bukit Beruntung: Air Sungai SKC yang mulai surut sejak 8 malam tadi membantu pasukan penyelamat menemui mayat kanak-kanak lemas di sungai berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, mayat mangsa ketiga, keempat dan kelima ditemui terdampar di tebing sungai.

"Mayat mangsa kelima iaitu Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, ditemui pada 12.17 tengah malam tadi, terdampar di atas tebing sungai di kawasan berlumpur selepas air mulai surut,” katanya.

Mayat Amirul ditemui pada jarak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian, katanya.

Sebelum itu, mayat Mohd Ikhwan Mohd Ridhwan, 10, ditemui pada 9.47 malam tadi dan mayat Mohd Aiman Fitri Md Asmadi, 12, ditemui 10 minit kemudian pada 9.57 malam, kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian.

"Keadaan air surut memudahkan pasukan penyelamat menemui mangsa berkenaan tanpa perlu melakukan pencarian di dalam air melalui unit skuba bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, mangsa yang terselamat iaitu Muhammad Shahir Azman, 12, sempat berpaut kepada batang paip air PVC ketika arus deras melanda sungai berkenaan.

Dalam kejadian 5.45 petang tadi, lapan kanak-kanak berusia 9 hingga 12 tahun pergi ke sungai berkenaan untuk menangguk ikan ketika cuaca hujan lebat sebelum dihanyutkan arus deras.

Sehingga 2 pagi tadi, baki dua mangsa masih hilang iaitu Mohd Iskandar Shah Abdullah, 11, dan Muhammad Aiman Kamarul, 12, dan pencarian masih diteruskan pasukan penyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 3:11 AM