IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Hasbullah Azhar


Alor Gajah: Sembilan terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 212.8, lebuh raya PLUS, arah utara, selepas restoran jejantas Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Kemalangan pada kira-kira 7 petang itu turut menyebabkan satu daripada kereta terbakar.

Kejadian bermula apabila Proton Persona dipandu Mera Mohd Firdaus Rajam, 30, yang membawa dua penumpang rempuh belakang Proton Waja dipandu Ab Jalil Joned, 57, bersama lima penumpang.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Shahrulnizam Sidek, berkata kedua-dua kenderaan ketika itu menghala ke utara.

"Rempuhan itu mengakibatkan Proton Waja terbabas ke kiri lebuh raya dan melanggar besi penghadang manakala Proton Persona pula terbakar.

"Ketiga-tiga mangsa Proton Persona sempat menyelamatkan diri sebelum api marak memusnahkan keseluruhan kereta," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, sembilan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaaan dan api berjaya dipadam pada jam 7.42 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 9:07 PM