IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Muhaamad Hafis Nawawi


Kulim: Lelaki melecur di tangan ketika cuba menyelamatkan keretanya selepas rumahnya dan kediaman jiran di Jalan Kampung Lama, Lunas, di sini, terbakar malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Nur Hafizah Muhammad Lukman, berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 11.57 malam.

Katanya, jentera pertama dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas tiba dua minit kemudian.

Menurutnya, dua pegawai dan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim dibantu tujuh PBS terbabit dalam memadam kebakaran itu.

"Sebaik tiba, anggota mendapati dua rumah teres setingkat bersama Perdoua Axia terbakar. Api dikawal pada 12.10 tengah malam," katanya.

Nur Hafizah berkata, dua rumah rosak dengan satu daripadanya musnah 90 peratus manakala kereta terbakar 90 peratus.

"Lelaki itu cedera dan diberi rawatan di lokasi sebelum dihantar ke klinik untuk menerima rawatan. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 11:33 AM