Ketua jurulatih Pulau Pinang, Ashley Weshwood. - Foto Fail
Ketua jurulatih Pulau Pinang, Ashley Weshwood. - Foto Fail
Shamsul Munir Safini


Georgetown: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menamatkan kontrak Ketua Jurulatih Ashley Westwood berkuatkuasa serta-merta dan tugasnya bakal diisi sementara oleh Pembantu Ketua Jurulatih Darren Read.

Presiden FAP Zairil Khir Johari berkata, keputusan itu diambil hasil perbincangan bersama Ashley dan mencapai kata sepakat berhubung penamatan kontraknya.

Beliau berkata, Westwood bersetuju menamatkan perkhidmatannya serta melepaskan jawatan sebagai Ketua Jurulatih berkuatkuasa serta-merta.

"Saya bagi pihak FAP merakamkan penghargaan atas khidmat dan usaha beliau dengan pasukan Pulau Pinang.

"Bagi mengisi kekosongan ini buat sementara, FAP bersetuju melantik Read bagi memangku jawatan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, FAP akan mengumumkan pelantikan Ketua Jurulatih baru dalam masa terdekat ini.

Prestasi pasukan Pulau Pinang dalam saingan Liga Super musim ini, hambar.

Pulau Pinang kini menduduki tangga tercorot Liga Super 2017 selepas lapan perlawanan tanpa menang dengan hanya dua mata.

Di bawah bimbingan Westwood, skuad harimau kumbang hanya berjaya mencatat 1 kemenangan, menewaskan MPKB-BRI U-Bes 1-0 pada saingan Piala FA, Februari lalu.

Pulau Pinang juga telah tercicir daripada saingan Piala FA 2017 selepas tewas 4-1 kepada Negeri Sembilan pada pusingan ketiga, 11 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 12:37 PM