Pemenang pertama kategori Wanita 35 tahun ke atas Kapas-Marang International Swimathon 2017, Alexandra Evans (tengah) dari Australia, pemenang kedua Jessie Wong (kiri) dari Malaysia dan pemenang ketiga Melanie Ho (kanan) dari Singapura. - Foto ROZAINAH ZAKARIA


Marang: Seramai 422 peserta yang menyertai Kapas-Marang International Swimathon 2017 selamat tiba di garisan penamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini selepas lebih sejam berenang merentasi dari Pulau Kapas ke Kelulut di sini, hari ini.

Perenang Australia, Dean Hancock yang bersaing bagi Kategori Lelaki 47 Tahun ke atas, muncul perenang terpantas dengan masa 1 jam 34 minit 10 saat, namun gagal memecahkan rekod juara hatrik Benyamin Komschak dari Jerman, 1 jam 19 minit 58 saat.

Kategori wanita turut diungguli rakan senegara Hancock, Alexandra Evans dengan masa 1 jam 48 saat 10 minit, diikuti perenang negara, Jessie Wong di tempat kedua dengan masa 1 jam 54 minit 46 saat. Melanie Ho dari Singapura di tempat ketiga dengan 2 jam 34 minit 34 saat.

Kategori Lelaki 12 hingga 29 tahun didominasi perenang negara, Estino Taniyu (1 jam 51 minit 51 saat), Hamizan Aiman Hamid (1 jam57 minit 12 saat) dan Chua Chia Chua dengan masa 1 jam 59 minit 12 saat.

Hamizan Aiman Hamid muncul juara Kategori Tertutup Terengganu dengan masa 1 jam 57 minit 12 saat, Chua Chia Chua (1 jam 59 minit 12 saat) dan Chua Chia Kiat dengan catatan masa 2 jam 2 saat.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri A Latiff Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:59 PM