ANGGOTA tentera serta kakitangan Jabatan Kerja Raya bergotong royong menyiapkan jambatan sementara di Kilometer 9, Jalan Air Putih-Chukai di Bukit Machang Setahun, Air Putih. FOTO Bernama
ANGGOTA tentera serta kakitangan Jabatan Kerja Raya bergotong royong menyiapkan jambatan sementara di Kilometer 9, Jalan Air Putih-Chukai di Bukit Machang Setahun, Air Putih. FOTO Bernama

KEMAMAN: Jambatan sementara jenis Acrow 700xs yang sedang dibina di Kilometer 9, Jalan Air Putih-Chukai di Bukit Machang Setahun dekat sini, dijangka siap esok.

Pegawai Memerintah Rejimen Kedua Kor Armour Diraja Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel Wan Mohd Faizal Shahrin Wan Mohamad Fablillah berkata, kekuatan 40 anggota diperlukan bagi membina jambatan tersebut.

Beliau berkata, ia melibatkan Kor Kejuruteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Kor Armor Diraja (KAD), anggota Rejimen Ke-18 Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Pantai Seberang Takir, Kuala Terengganu serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Sekiranya tiada masalah, esok akan siap. Kita bina Jambatan Acrow ini bagi memudahkan penduduk menggunakannya bagi melakukan aktiviti harian," katanya kepada pemberita di lokasi pemasangan jambatan di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut melakukan tinjauan pembinaan jambatan itu di jalan yang runtuh pada 21 Disember lalu akibat mendapan tanah susulan limpahan air dari satu kolam besar yang terbentuk akibat operasi melombong bijih besi berdekatan kawasan itu.

Jambatan jenis besi itu dibina bertujuan menghubungkan jalan utama kampung Pasir Gajah dengan Kampung Seberang Tayor serta menjadi laluan utama bagi kampung berdekatan.

Sebelum ini, penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif sejauh 30km untuk ke seberang.

Jambatan sementara itu juga dapat melancarkan perjalanan pelajar sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah dan SK Seberang Tayor memandangkan sesi persekolahan akan dibuka 11 Januari ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:40 PM