X
MAJLIS pelepasan bermula meriah.
MAJLIS pelepasan bermula meriah.
MEMERIKSA kualiti air adalah antara pengisian program.
MEMERIKSA kualiti air adalah antara pengisian program.
PESERTA berjaya berkayak sejauh 55.2 km dalam merealisasikan objektif program.
PESERTA berjaya berkayak sejauh 55.2 km dalam merealisasikan objektif program.
Syarimie Wosley dan Aiman Syazwan


Unit Inisiatif Kelestarian Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menganjurkan Program Hari Air Sedunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Ekspedisi Sungai Lebir 2017 baru-baru ini sebagai langkah permulaan untuk mengkaji serta menyelidik prospek sungai berkenaan untuk menjadi kawasan penyelidikan dan rekreasi.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Datuk Dr Ibrahim Che Omar, berkata aktiviti berasaskan rekreasi dan pendidikan boleh dikembangkan di kawasan Sungai Lebir memandangkan keindahan alam semula jadi yang luas dan terpelihara daripada pencemaran alam sekitar.

Menurutnya, lokasi ini dipilih berdasarkan kedudukan, kepentingan dan keadaan sungai yang mempunyai banyak sumber asli unik serta biodiversiti sungai sesuai dengan aktiviti riadah.

“Terdapat banyak negara menerapkan konsep pelancongan pendidikan dalam industri pelancongan mereka kerana dunia masa kini sudah berubah.

“Adalah wajar untuk kita pertahankan khazanah ini dalam usaha memperkenalkan lokasi pelancongan di negeri ini dengan tujuan penjanaan ekonomi yang menerapkan elemen kelestarian sumber asli sebagai pembelajaran dan pendidikan untuk masyarakat menghargai alam sekitar pada jangka panjang,” katanya ketika merasmikan program berkenaan dengan imik pelancaran 80 peserta ekspedisi kayak di Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Peserta ekspedisi terdiri daripada siswa dan pensyarah FSB, UMK khususnya dari program Sains Sumber Asli, Sains Kelestarian, Geosains dan program Teknologi Sumber Hutan serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Gua Musang.

Ketua Jabatan FSB Zulhazman Hamzah berkata, peserta berkayak sejauh 55.2 kilometer (km) bermula di Taman Negara Kuala Koh membabitkan tiga lokasi utama iaitu Kampung Felda Aring 6, Kampung Simpang Lepar dan Kampung Pasir Linggi.

Katanya, program ini adalah aktiviti lapangan untuk tujuan kajian saintifik bagi melihat diversiti flora dan fauna di sepanjang Sungai Lebir, vegetasi zon penampan, morfologi dan batuan sungai sepanjang Sungai Lebir yang dijalankan dalam ekspedisi ini.

“Ekspedisi ini juga untuk kenal pasti kesesuaian ekosistem untuk dijadikan aktiviti riadah dan pelancongan di samping khidmat komuniti atau aktiviti kemasyarakatan oleh peserta kepada penduduk di setiap kawasan persinggahan.

“Hasil kajian dan data penyelidikan diperoleh membolehkan Sungai Lebir akan dibukukan dan diterbitkan oleh UMK untuk digunakan dalam pembelajaran di universiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 10:46 AM
Digital NSTP Subscribe