MANSOR tidak terdaya menbersih rumah selepas air surut di kampung Sanggar Seberang Temerloh. FOTO Hasriyasyah Sabudin
MANSOR tidak terdaya menbersih rumah selepas air surut di kampung Sanggar Seberang Temerloh. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Oleh Nurul Huda Kosnon


Temerloh: "Ya Allah, besarnya dugaan yang kau berikan, ni kalau isteri saya tengok mesti dia akan pengsan."

Demikian luahan seorang lelaki, Mansor Wagiman, 45, dalam nada hiba dan ditemui terduduk di kerusi selepas pulang melihat rumahnya yang musnah ditenggelami air akibat banjir di Kampung Sanggang Seberang.

Beliau tidak membenarkan isterinya, Baator Adariah Abdul Rahman, 77, yang menghidap penyakit jantung pulang ke rumah kerana tidak mahu dia tertekan melihat keadaan kediaman mereka selepas banjir surut.

Dia yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, dia melihat rumahnya seperti terkena tsunami apabila dinding retak dan perkakas rumah musnah selain dipenuhi selut dan lumpur.

"Habis semua musnah, tak tahu lah nak buat macam mana. Saya bukan orang senang, pendapatan menoreh getah pun tak tentu.

"Dah tak ada apa dah, tak tahu macam mana nak buat. Susah nak bersihkan sebab lumpur tebal, ambil masa lama untuk pulih. Semua barang dah tak boleh pakai.

"Sebab tu saya tak benarkan isteri pulang ke rumah sebab situasi ini akan menjejaskan kesihatannya dan dikhuatiri perkara tak diingini akan berlaku.”

"Biar saya saja yang tahu bagaimana perasaan pertama kali tengok rumah selepas banjir dilaporkan semakin menurun.

Katanya, isterinya mahu pulang dengan segera selepas berada di pusat Pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sanggang Seberang di sini sejak 25 Disember lalu.

"Dia (isteri) dah tak selesa tinggal di situ selain mahu pulang ke rumah segera.

Bapa seorang anak angkat berusia setahun itu berkata, hampir setiap hari isteri menangis ketika di pusat pemindahan itu.

“Sebelum isteri pulang saya akan pastikan keadaan ok sikit," katanya.

Wartawan Harian Metro yang membuat tinjauan di kediamannya cuba mendekatinya yang turut mengalami gangguan emosi dengan bencana alam yang memusnahkan kediamannya.

"Banjir kali ini memang teruk. Rumah saya sebelum ini juga hanya nampak bumbung saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 12:19 AM