X

KUALA LUMPUR: AirAsia Indonesia mengesahkan bahawa penerbangan QZ7633 dari Surabaya ke Bandung yang dijadualkan berlepas pada 9 malam semalam (waktu tempatan) telah membuat keputusan untuk kembali ke apron (RTA) akibat masalah teknikal.

Dalam satu kenyataan, AirAsia Indonesia berkata, penerbangan QZ7633 menggunakan pesawat Airbus A320-200 (Pendaftaran PK-AZC) yang membawa 161 penumpang mengalami penutupan Auxilliary Power Unit (APU) pesawat itu secara automatik ketika ditunda.

"Kapten penerbangan kembali ke pintu berlepas kerana terpaksa menjalani pemeriksaan lanjut atas sebab-sebab keselamatan," katanya.

APU adalah peranti terletak di bahagian ekor pesawat yang membekalkan tenaga untuk sistem kuasa elektrik dan pneumatik apabila pesawat berada di landasan sebelum enjin utama hidup, kata kenyataan itu.

APU mempunyai sistem perlindungan yang secara automatik mematikan APU apabila ia mengesan sebarang kerosakan pada sistem seperti melebihi had kelajuan, tekanan minyak rendah, masalah penapis minyak atau suhu minyak terlampau panas untuk memastikan operasi selamat.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Sunu Widyatmoko berkata, kapten penerbangan telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan membuat keputusan berhubung RTA bagi memastikan keselamatan operasi.

"Pemeriksaan lanjut selesai dijalankan oleh pasukan kejuruteraan mengikut prosedur operasi standard," katanya.

"Selepas pemeriksaan terakhir selesai, pesawat itu dibenar untuk terbang kira-kira sejam kemudian, walaupun liputan yang disensasikan, tidak ada isu-isu keselamatan berbangkit dan pesawat mendarat dengan selamat di Bandung," katanya.

AirAsia Indonesia berkata ia memohon maaf bagi sebarang kesulitan yang dialami. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 2:27 AM
Kabinet Malaysia 2020