Ekonomi pada tahun 2015 kian mencabar. Tahun 2014 sudahpun melabuhkan tirainya namun memori terhadap apa yang berlaku sepanjang tahun itu tetap terpahat di setiap benak fikiran rakyat Malaysia. Paling utama, musibah yang berlaku kepada industri penerbangan negara pada Mac dan Julai 2014 yang mengorbankan ratusan nyawa.

Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan bencana bah yang melanda di negeri di pantai timur, pantai barat serta selatan Malaysia. Ratusan ribu mangsa pula terpaksa dipindahkan dan terdapat kemalangan jiwa yang dilaporkan akibat banjir terbabit.

Meskipun begitu, keadaan ekonomi negara dilihat pada masa kini berada pada keadaan baik di mana ia adalah berdasarkan prestasi pertumbuhan ekonomi bagi tempoh sembilan bulan pertama 2014 yang amat memberangsangkan. Ini terbukti apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan baik iaitu 6.1 peratus di mana ia didorong faktor pemulihan ekonomi luaran selain perbelanjaan domestik yang kekal stabil.

Selain itu, kadar defisit negara bagi tempoh sama juga menunjukkan trend yang menurun kepada 2.7 peratus daripada nilai KDNK. Pengurangan kadar defisit berterusan ini memberi gambaran bahawa kebarangkalian untuk mencapai sasaran defisit sebanyak 3.5 peratus pada tahun 2014 adalah amat tinggi.

Pelaksanaan apungan terkawal bagi harga petrol RON95 dan diesel pada Disember dilihat langkah tepat memandangkan harga pasaran minyak dunia yang rendah dan sekali gus memantapkan kedudukan kewangan kerajaan memandangkan tiada lagi subsidi minyak yang akan dibelanjakan.

Bagaimanapun, pasaran modal Malaysia dilihat merudum di samping nilai matawang ringgit yang rendah berbanding negara Asia lain. Berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), nilai ringgit merosot sebanyak 6.3 peratus dari awal tahun dan antara matawang paling teruk terjejas selain mata wang Jepun yang menyusut sebanyak 12 peratus.

Dolar Singapura, baht dan rupiah masing-masing mencatatkan kejatuhan sebanyak 4.5 peratus, 0.6 peratus dan 1.9 peratus. Terdapat dua faktor utama yang menyumbangkan kepada tren sebegini iaitu faktor jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah di negara maju berikutan pemulihan ekonomi berterusan terutamanya bagi negara AS.

Jika dilihat kadar pengangguran negara AS menunjukkan trend penurunan progresif kepada 5.8 peratus setakat November tahun lalu berbanding 10 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2009 tatkala ekonomi mereka sedang mengalami kemelesetan pada masa itu.

Hasil daripada campurtangan kerajaan pada akhir tahun 2007 melalui dasar pengembangan fiskal serta dasar kewangan yang banyak menyuntik kecairan di dalam sistem perbankan, negara AS akhirnya mencatatkan pertumbuhan sangat baik pada suku ketiga tahun 2014 iaitu pada kadar 5 peratus.

Biarpun mengambil masa agak lama untuk pulih, ekonomi AS kini sudah berada pada tahap sangat baik dan sememangnya tidak lagi memerlukan sokongan yang keterlaluan daripada pihak kerajaan termasuklah kadar faedah yang terlalu rendah.

Faktor kedua pula adalah suasana penawaran minyak dunia yang berlebihan yang banyak disumbangkan oleh pengeluaran minyak Shale oleh negara AS serta pengeluaran minyak oleh negara bukan OPEC. Keputusan negara OPEC pada 27 November lalu untuk mengekalkan kuota pengeluaran minyak pada kadar 30 juta tong sehari memburukkan lagi keadaan memandangkan suasana lebihan penawaran minyak dunia dijangka berterusan.

Untuk Malaysia pula, pengumuman PETRONAS bagi mengurangkan perbelanjaan modal mereka sebanyak 15 ke 20 peratus juga menyumbang kepada sentimen yang negatif terhadap nilai ringgit. Persepsi yang ada pada pelabur terutama dalam kalangan penganalisis ekonomi asing ialah sasaran defisit negara pada tahun 2015 sebanyak 3 peratus daripada nilai KDNK mungkin tidak akan dicapai.

Selain itu, kebimbangan terhadap momentum pertumbuhan pelaburan swasta memberi sumbangan terhadap persepsi yang sebegini memandangkan perbelanjaan modal oleh pihak swasta adalah sumber pertumbuhan ekonomi penting pada masa kini.

Oleh itu, dua faktor ini dijangka banyak mempengaruhi momentum pertumbuhan ekonomi negara pada 2015 di samping kemungkinan tekanan deflasi bagi negara Eropah serta kelembapan ekonomi negara China juga berpotensi bagi menyebabkan sentimen negatif berterusan.

Bagaimanapun, pihak kami di Bank Islam menganggap bahawa perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada bulan April tahun ini serta pelaksanaan sistem apungan terkawal bagi harga petroleum mampu mengekang tekanan kelembapan ekonomi luaran.

Jika kita lihat purata perbelanjaan subsidi minyak oleh pihak kerajaan bagi tempoh 2011 sehingga 2013 adalah pada tahap RM23.9 billion. Oleh itu, banyak penjimatan yang dapat dilakukan akibat daripada pelaksanaan sistem apungan terkawal apabila tiada lagi subsidi akan diberikan.

Selain itu, GST dijangka menyumbang sebanyak RM21.7 bilion bagi sembilan bulan pertama perlaksanaanya berbanding hasil kutipan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mempunyai purata kutipan RM13.7 billion bagi tempoh lima tahun.

Pihak kami di Bank Islam mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2015 adalah pada kadar 5.3 peratus, turun daripada jangkaan pertumbuhan bagi tahun 2014 iaitu enam peratus. Ini adalah berikutan penurunan nilai eksport ekoran jangkaan ekonomi luaran yang agak perlahan.

Secara keseluruhannya, kami berpendapat ekonomi Malaysia akan kekal mapan berikutan pasaran buruh stabil dengan harga minyak yang rendah akan banyak membantu meningkatkan perbelanjaan swasta selain dapat mengekang tekanan inflasi akibat daripada perlaksanaan GST.

Kami beranggapan bahawa kedua-dua langkah ini iaitu pelaksanaan GST serta sistem apungan terkawal bagi harga petrol adalah satu persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan kelembapan ekonomi yang mungkin akan berlaku pada masa akan datang.

Perkara ini amat bersesuaian dengan apa yang disarankan di dalam ayat al-Quran di dalam surah Al-Anfal ayat 60 yang ada menyebut mengenai untuk bersiap siaga dari segi ketenteraan dan ini termasuklah kekuatan ekonomi.

Melalui pengukuhan kedudukan kewangan kerajaan, dasar penstabilan seperti penyediaan pakej rangsangan ekonomi serta pengurangan kadar faedah akan dapat dilakukan dengan lebih efektif apabila negara sudah mula bersiap siaga dari awal lagi. Ini adalah faktor yang begitu positif dan bersifat jangka panjang kerana kita mengambil kira faktor kitaran ekonomi yang sentiasa ada turun naiknya.

Penulis

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 5:04 AM