Pegawai Pemerintah 22 Skuadron TUDM Kolonel Masro Kaliwan. - Foto SHAHRIZAL MD NOOR, DANIAL SAAD, SHAHRIL BADRI
Muhaamad Hafis NawawiFardy Bungga dan Sofyan Rizal Ishak dan Hamzah Osman


Langkawi: Pegawai Pemerintah 22 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kolonel Masro Kaliwan menyifatkan pengalaman membawa pesawat pengangkut pelbagai guna dan termoden Airbus A400M seperti memandu kereta Proton Perdana namun merasai memandu Jaguar.

Menurutnya, rasa kagum dan teruja sebaik menerbangkan pesawat itu - aset terbaru TUDM yang paling canggih setakat ini bagi memperkukuhkan skuadron pengangkut TUDM.

"Saya berasa seperti pemandu Proton Perdana yang memandu kereta Jaguar ketika menerbangkan pesawat ini.

“Keupayaan pesawat ini yang mampu membawa muatan sehingga 37 tan, mendarat di landasan tidak kemas selain pengisian minyak di udara menjadikan ia aset memenuhi keperluan TUDM," katanya selepas majlis simbolik penyerahan pesawat itu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada Ketua Pesawat Ketenteraan Airbus Fernando Alonso, hari ini.

TUDM kini sudah memiliki empat pesawat A400M buatan Sepanyol di mana pesawat pertama diterima pada 9 Mac 2015 diikuti kedua dan ketiga masing-masing pada Januari dan Jun tahun lalu.

Malah pesawat itu juga turut memukau pengunjung pada gimik perasmian Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) yang bermula semalam hingga Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 12:33 PM