Mary Victoria Dass

 

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Prapelancaran Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim (YSI) di Galleria di sini, hari ini.

Penyediaan Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim adalah hasil cetusan idea baginda demi membantu rakyat yang masih belum memiliki rumah menerusi penubuhan YSI.

Turut berangkat Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Menteri Besar , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikat dalam kumpulannya, Johor Land Berhad (JLand) akan melaksanakan pembangunan berkenaan di Bandar Dato' Onn dan Bandar Baru Majidee.

Di Bandar Dato' Onn, Rumah Impian Bangsa Johor akan dibangunkan di kawasan seluas 21.3 hektar dan membabitkan pembinaan lebih 520 unit termasuk 190 rumah teres, 130 rumah berkembar dan 200 rumah sesebuah.

Rumah berkenaan ditawarkan dengan harga RM80,000 hingga RM100,000 seunit.

Manakala di Bandar Baru Majidee, sebanyak 320 unit rumah akan dibangunkan di kawasan seluas 2.75 hektar dan ia terdiri daripada dua blok yang masing-masing mempunyai 12 tingkat kediaman dan ia akan ditawarkan dengan harga RM150,000 seunit.

Terdapat satu projek sedang dirancang oleh Mutiara S'City Sdn Bhd di kawasan seluas 3.05 hektar di Bukit Saujana di bawah YSI pada masa depan dan ia bakal menawarkan 1,000 rumah.

Lebih 5,000 anak Johor berkumpul dari seawal jam 8 pagi di pusat beli-belah berkenaan untuk mendaftar bagi permohonan Rumah Impian Bangsa Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 4:58 PM
Sultan Ibrahim bersalaman dengan rakyat jelata pada Majlis Prapelancaran Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Sultan Ibrahim bersalaman dengan rakyat jelata pada Majlis Prapelancaran Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim. FOTO Mohd Azren Jamaludin