Kemalangan di Tok Kaya dekat Pulai Chondong yang mengorbankan dua beranak. FOTO ihsan bomba
Siti Nadzirah Che Mud


Machang: Ibu dan anak maut manakala tiga parah dan dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Tok Kaya dekat Pulai Chondong, di sini, 3 petang tadi.

Dua beranak yang maut itu dikenal pasti sebagai ibu Azizah Zakaria, 72, dan anaknya Siti Rohani Yajid,35.

Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga dinaiki mangsa dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan bertembungkereta jenis Mercedes-Benz.

Akibat pertembungan itu, Proton Saga terbabit terbakar dan semua yang maut dan cedera adalah pemandu dan penumpang kereta terbabit, manakala pemandu kereta Mercedes-Benz tidak cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang.

"Sebuah jentera dan tujuh anggota ke tempat kejadian dan ketika tiba, mereka sudah dikeluarkan orang awam.

"Kita ambil masa 10 minit untuk padam kebakaran dan mangsa maut dan cedera dibawa ke Hospital Machang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 7:40 PM