SEBAHAGIAN artis veteran yang menerima sumbangan kasut penjagaan kesihatan, semalam.
Oleh Mohd Hasbi Sidek
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam

"Bila kami sudah berusia begini tawaran berlakon pun kurang, tapi nasib baik masih ada pihak yang mengingati kami," kata pelakon veteran, Datuk Baharuddin Omar, 78, selepas menerima sumbangan kasut penjagaan kesihatan daripada MediFeet Medical Health Shoe Solution (MediFeet) di Worlwide Business Park, di sini, semalam.

Baharuddin atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki berkata, sumbangan MediFeet itu adalah satu penghargaan kepada seniman veteran sepertinya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada MediFeet kerana memberi kasut yang dapat menjaga kesihatan ini," katanya.

Pelakon, R Ramasundren, 50, yang juga ahli jawatankuasa Yayasan Artis Veteran Malaysia berkata, kebanyakan artis veteran sudah tidak begitu sihat, jadi khidmat masyarakat MediFeet itu tepat pada masanya.

"Sudah 30 tahun saya berkecimpung dalam bidang seni dan saya terharu kerana ada pihak menghargai kami," katanya.

Dalam majlis itu, seramai 50 artis veteran dari Yayasan Artis Veteran Malaysia diraikan bagi menghargai jasa mereka dalam bidang seni.

Sementara itu, Pengurus Besar MediFeet Mervin Pang (gambar) berkata, pihaknya menyumbang kasut kepada kira-kira 200 ahli Yayasan Artis Veteran Malaysia.

"Saya mengambil inisiatif ini sebagai menghargai artis lama dan berharap kasut kesihatan ini dapat membantu mereka.

"Ini kerana kasut kesihatan MediFeet dicipta khusus untuk manfaat kesihatan dan terbukti berkesan menerusi beberapa siri ujian makmal di Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:32 AM